Search This Blog

Friday, January 4, 2013

Muhasabah: Ingat Allah selalu~



Buat sekian kalinya, bila saya fikirkan kembali tentang jodoh, pertemuan dan perpisahan, saya adalah insan bertuah. Bertuah kerana ditakdirkan untuk berjumpa dengan insan-insan berhati mulia. Sentiasa menyanyangi saya secara langsung mahupun tidak. Adapun ditakdirkan berjumpa dengan manusia bertopengkan malaikat, saya rasa bersyukur kerana Allah menjauhkan diri saya darinya. Saya menyesal kerana menangis saat perpisahan. Hakikatnya, sayalah yang palling beruntung. Allah menjaga saya, dan saya mahu sentiasa dilindungi dan dijaga oleh Allah. Sedangkan itulah yang saya pinta di akhir sujud. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Saya terasa malu dan hina memikirkan betapa saya tidak tahu mensyukuri nikmatnya. Semoga Allah mengampunkan dosa saya.

Saat bersendirian, saya rasa lebih hampir dengan Pencipta. Aman dan tenang… Inikah nikmat iman? Seperti manusia lain, saya juga mengalami naik turun iman. Saya sering bertarbiyah seorang diri. Tapi, kata orang, belajar sendiri ibarat belajar bersama syaitan. Entah dari mana saya terdengar, jika bertarbiyah seorang diri atau belajar seorang diri, boleh menimbulkan rasa riak. Syukur, dipertemukan dengan sahabat yang sering mengingatkan tentang cinta Allah yang mendamaikan. Mereka ‘kawan dunia akhirat’.:) Bersama mereka, sering saja saya tertawa dengan tipu daya dunia. Kami berbincang, tentang dunia yang indah, namun banyak perangkap syaitan yang dilaknat Allah. Tipulah saya tidak terperangkap. Siapa yang tidak rasa bahagia dibisikkan dengan kesenangan dunia. Alhamdulillah… sahabat yang setia, sering ada, mendengar dengan tenang, menegur dalam hikmah, memberi semangat tanpa jemu, mengingatkan cinta Allah.

Nasihat saya(untuk diri saya juga), HATI-HATI dengan kesenangan dunia jika alasannya “suka-suka”. Jalan-jalan untuk suka-suka. Nilai dengan akal, keperluan atau kehendak. Tidak salah untuk bersenang-senang dan bergembira di dunia. Semua nikmat di dunia ini disediakan Allah untuk hamba-hambaNya yang bertakwa. Namun, perangkap syaitan bagaikan jerangkap samar yang diletakkan di sekeliling kita. Sekali kita leka, masuklah dalam perangkap itu. Persoalannya, mampukah kita mengingati Allah semasa kita bersuka-ria? Boleh bersuka-ria, tapi ingat... jangan sampai tanggungjawab kita sebagai hamba Allah terabai. Tanggungjawab sebagai seorang hamba bukan sekadar mendirikan solat. Tugas kita, sujud pada Allah. Dengan kata lain patuh pada perintah dan menjauhi laranganNya. Termasuklah menjaga aurat, maruah dan sebagainya. Biasakan diri melakukan semua perkara atas alasan "lillah hi ta'ala"

Bagi saya, sukar untuk mengingati Allah ketika senang. Khuatir, masuk perangkap syaitan. Bukanlah saya bermaksud mahukan hidup susah-payah. Saya sukakan hidup biasa-biasa. Susah diusahakan. Bila senang qana’ah; rasa cukup dan bersyukur dengan pemberian Allah. Jangan pernah lihat kesenangan orang, tapi selalu lihat kesusahan orang lain. Jangan pandang orang di atas kita,tapi pandang mereka yang berada di bawah. Barulah timbul rasa syukur itu. Macam mana pula mahu sentiasa beringat? Orang Islam diajar untuk berusaha, doa dan tawakal. 3 formula langkah untuk berjaya. Boleh diaplikasikan di mana-mana situasi.  

Usaha mengingati Allah. Bagaimana? Saya selalu tercari-cari dari mana titik permulaan usaha ini. Perbanyakkan istigfar, zikir, mendalami ilmu-ilmu agama. Selangkah kita menghampiri Allah, berganda Allah menghampiri kita. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Jangan pernah berpaling dari Allah. Perbanyakkan ilmu keagamaan. Kita mungkin terbaca artikel berunsurkan keagamaan, tapi bagaimana penerimaan kita? Atau kita membacanya tanpa perasaan? Keraskah hati kita? Tepuk dada, tanya selera... Allah berikan kita deria untuk membaca, mendengar, seterusnya otak untuk berfikir. Semuanya diberikan supaya kita berfikir tentang Allah. Mengesakan Allah… Sombongnya kita, bila diberi peringatan, kita abaikan… Astagfirullah… Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua. Rahmat Allah sentiasa mendahului murkanya.

Doalah. Jangan rasa malu untuk berdoa dan meminta. Biar kita meminta-minta pada Allah, jangan kita meminta-minta pada manusia. Jujur saya mengaku, dulu saya pernah terfikir, “Malu nak meminta banyak-banyak. Macam hamba yang tak tahu bersyukur pula…”. Astagfirullah… jahilnya saya. Pemikiran sebegini, pemikiran orang yang sombong. Sombong itu, syaitanlah! Bila saya mula doa, doa, doa, dan Allah beri, beri, beri…terasa, permintaan kita sentiasa didengari.  Allah Maha Mendengar lagi Maha Penyanyang. Dari situlah timbulnya rasa syukur. Pentingnya solat dalam kehidupan kita, supaya kita tidak hanyut. Bayangkan, orang yang tidak solat, lantas dikurniakan Allah engan pelbagai pemberian. Dek kerana percaya dengan usaha dan nasib diri sendiri, sifat ‘ujub itu timbul. “Aku memang sentiasa bertuah!”. Sedangkan orang solat, sekurang-kurangnya jika diberi dengan nikmat, akan rasa bersyukur. “Mungkin ini balasan atas solat-solatku”. Benarlah, solat itu, tiang agama. Doa itu senjata, zikir itu perisai. Perisai hati. Seorang kawan pernah berkata, “Andaikan hati itu sebagai rumah. Harta itu, sesuatu yang paling penting dalam hati- Iman. Pencuri itu syaitan. Andaikan rumah orang kaya lengkap dengan pengawal sebagai hati Nabi yang maksum, hati baginda penuh dengan iman dan terpelihara dari melakukan dosa. Rumah orang yang sederhana kaya;tiada pengawal, hati-hati orang Islam yang imannya turun naik. Dan rumah orang miskin, hati-hati orang kafir. Pencuri akan mensasarkan mangsa di kalangan orang yang sederhana. Begitu jugalah dengan syaitan yang akan berusaha menyesatkan manusia, orang-orang yang beriman, orang-orang Islam. Orang kafir tidak diendahkan kerana mereka sememangnya sesat dari agama Allah.” Dahulu, saya selalu salah tafsir, doa itu senjata, untuk mengalahkan orang-orang yang zalim, seperti zionis yang sewenang-wenangnya membunuh rakyat Palestin. Doa itu sebenarnya senjata untuk berperang dengan syaitan. Doa supaya hati kita sentiasa dilindungi. Zikir itu perisai supaya syaitan tidak dapat memasuki hati. Syaitan sentiasa tunggu saat kita leka dan lupa Allah, ketika hati menjadi kosong (teringat lagu Najwa Latif pulak!;p), ketika itu mulalah syaitan menghasut. Teringat ketika saya mengamuk dulu, abah kata, “banyak syaitan ni”. Baru sekarang saya faham.
Terakhir, kita tawakal. Belum masanya kita untuk bertawakal. Sedangkan dunia adalah medan peperangan bagi kita. Perang melawan hasutan syaitan. Perang melawan nafsu. Perang melawan syaitan bertopengkan manusia. Selagi kita masih bernafas, selagi itulah kita masih berusaha. Usaha dan doa.

Semua ini saya dapat dari sahabat-sahabat yang baru saya kenal sejak kebelakangan ini. Manusia tidak mampu hidup bersendirian. Iman saya goyah tanpa bantuan rakan-rakan. Allah pertemukan saya dengan sahabat yang mempunyai matlamat hidup seperti saya. Orang-orang yang tiap harinya hidup dengan meraih cinta Illahi, bukan cinta sesama manusia. Orang-orang yang mengejar kebahagiaan akhirat, disamping tidak lokek berkongsi kebahagian dunia kepada orang lain. Mereka sedar, bahagia di dunia ini sementara. Tiadalah rugi berkongsi kebahagiaan yang apalah sangat nilainya. Kadang-kala perit untuk mendengar teguran mereka, tapi akhirnya saya sedar, tegasnya mereka kerana sayangkan kita. Jauh sekali kerana alasan peribadi. Alhamdulillah… saya dipertemukan dengan orang sebegini.

Semoga Allah memberkati dan meredhai hidup kita. Semoga kita semua selamat dunia dan akhirat.  Ameen.

"Kejarlah cinta Illahi, bukan cinta dunia yang Allah yang beri.
Cinta manusia silih berganti, tapi cinta Allah kekal abadi."

No comments:

Post a Comment