Search This Blog

Friday, January 4, 2013

Muhasabah: Ingat Allah selalu~



Buat sekian kalinya, bila saya fikirkan kembali tentang jodoh, pertemuan dan perpisahan, saya adalah insan bertuah. Bertuah kerana ditakdirkan untuk berjumpa dengan insan-insan berhati mulia. Sentiasa menyanyangi saya secara langsung mahupun tidak. Adapun ditakdirkan berjumpa dengan manusia bertopengkan malaikat, saya rasa bersyukur kerana Allah menjauhkan diri saya darinya. Saya menyesal kerana menangis saat perpisahan. Hakikatnya, sayalah yang palling beruntung. Allah menjaga saya, dan saya mahu sentiasa dilindungi dan dijaga oleh Allah. Sedangkan itulah yang saya pinta di akhir sujud. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Saya terasa malu dan hina memikirkan betapa saya tidak tahu mensyukuri nikmatnya. Semoga Allah mengampunkan dosa saya.

Saat bersendirian, saya rasa lebih hampir dengan Pencipta. Aman dan tenang… Inikah nikmat iman? Seperti manusia lain, saya juga mengalami naik turun iman. Saya sering bertarbiyah seorang diri. Tapi, kata orang, belajar sendiri ibarat belajar bersama syaitan. Entah dari mana saya terdengar, jika bertarbiyah seorang diri atau belajar seorang diri, boleh menimbulkan rasa riak. Syukur, dipertemukan dengan sahabat yang sering mengingatkan tentang cinta Allah yang mendamaikan. Mereka ‘kawan dunia akhirat’.:) Bersama mereka, sering saja saya tertawa dengan tipu daya dunia. Kami berbincang, tentang dunia yang indah, namun banyak perangkap syaitan yang dilaknat Allah. Tipulah saya tidak terperangkap. Siapa yang tidak rasa bahagia dibisikkan dengan kesenangan dunia. Alhamdulillah… sahabat yang setia, sering ada, mendengar dengan tenang, menegur dalam hikmah, memberi semangat tanpa jemu, mengingatkan cinta Allah.

Nasihat saya(untuk diri saya juga), HATI-HATI dengan kesenangan dunia jika alasannya “suka-suka”. Jalan-jalan untuk suka-suka. Nilai dengan akal, keperluan atau kehendak. Tidak salah untuk bersenang-senang dan bergembira di dunia. Semua nikmat di dunia ini disediakan Allah untuk hamba-hambaNya yang bertakwa. Namun, perangkap syaitan bagaikan jerangkap samar yang diletakkan di sekeliling kita. Sekali kita leka, masuklah dalam perangkap itu. Persoalannya, mampukah kita mengingati Allah semasa kita bersuka-ria? Boleh bersuka-ria, tapi ingat... jangan sampai tanggungjawab kita sebagai hamba Allah terabai. Tanggungjawab sebagai seorang hamba bukan sekadar mendirikan solat. Tugas kita, sujud pada Allah. Dengan kata lain patuh pada perintah dan menjauhi laranganNya. Termasuklah menjaga aurat, maruah dan sebagainya. Biasakan diri melakukan semua perkara atas alasan "lillah hi ta'ala"

Bagi saya, sukar untuk mengingati Allah ketika senang. Khuatir, masuk perangkap syaitan. Bukanlah saya bermaksud mahukan hidup susah-payah. Saya sukakan hidup biasa-biasa. Susah diusahakan. Bila senang qana’ah; rasa cukup dan bersyukur dengan pemberian Allah. Jangan pernah lihat kesenangan orang, tapi selalu lihat kesusahan orang lain. Jangan pandang orang di atas kita,tapi pandang mereka yang berada di bawah. Barulah timbul rasa syukur itu. Macam mana pula mahu sentiasa beringat? Orang Islam diajar untuk berusaha, doa dan tawakal. 3 formula langkah untuk berjaya. Boleh diaplikasikan di mana-mana situasi.  

Usaha mengingati Allah. Bagaimana? Saya selalu tercari-cari dari mana titik permulaan usaha ini. Perbanyakkan istigfar, zikir, mendalami ilmu-ilmu agama. Selangkah kita menghampiri Allah, berganda Allah menghampiri kita. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Jangan pernah berpaling dari Allah. Perbanyakkan ilmu keagamaan. Kita mungkin terbaca artikel berunsurkan keagamaan, tapi bagaimana penerimaan kita? Atau kita membacanya tanpa perasaan? Keraskah hati kita? Tepuk dada, tanya selera... Allah berikan kita deria untuk membaca, mendengar, seterusnya otak untuk berfikir. Semuanya diberikan supaya kita berfikir tentang Allah. Mengesakan Allah… Sombongnya kita, bila diberi peringatan, kita abaikan… Astagfirullah… Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua. Rahmat Allah sentiasa mendahului murkanya.

Doalah. Jangan rasa malu untuk berdoa dan meminta. Biar kita meminta-minta pada Allah, jangan kita meminta-minta pada manusia. Jujur saya mengaku, dulu saya pernah terfikir, “Malu nak meminta banyak-banyak. Macam hamba yang tak tahu bersyukur pula…”. Astagfirullah… jahilnya saya. Pemikiran sebegini, pemikiran orang yang sombong. Sombong itu, syaitanlah! Bila saya mula doa, doa, doa, dan Allah beri, beri, beri…terasa, permintaan kita sentiasa didengari.  Allah Maha Mendengar lagi Maha Penyanyang. Dari situlah timbulnya rasa syukur. Pentingnya solat dalam kehidupan kita, supaya kita tidak hanyut. Bayangkan, orang yang tidak solat, lantas dikurniakan Allah engan pelbagai pemberian. Dek kerana percaya dengan usaha dan nasib diri sendiri, sifat ‘ujub itu timbul. “Aku memang sentiasa bertuah!”. Sedangkan orang solat, sekurang-kurangnya jika diberi dengan nikmat, akan rasa bersyukur. “Mungkin ini balasan atas solat-solatku”. Benarlah, solat itu, tiang agama. Doa itu senjata, zikir itu perisai. Perisai hati. Seorang kawan pernah berkata, “Andaikan hati itu sebagai rumah. Harta itu, sesuatu yang paling penting dalam hati- Iman. Pencuri itu syaitan. Andaikan rumah orang kaya lengkap dengan pengawal sebagai hati Nabi yang maksum, hati baginda penuh dengan iman dan terpelihara dari melakukan dosa. Rumah orang yang sederhana kaya;tiada pengawal, hati-hati orang Islam yang imannya turun naik. Dan rumah orang miskin, hati-hati orang kafir. Pencuri akan mensasarkan mangsa di kalangan orang yang sederhana. Begitu jugalah dengan syaitan yang akan berusaha menyesatkan manusia, orang-orang yang beriman, orang-orang Islam. Orang kafir tidak diendahkan kerana mereka sememangnya sesat dari agama Allah.” Dahulu, saya selalu salah tafsir, doa itu senjata, untuk mengalahkan orang-orang yang zalim, seperti zionis yang sewenang-wenangnya membunuh rakyat Palestin. Doa itu sebenarnya senjata untuk berperang dengan syaitan. Doa supaya hati kita sentiasa dilindungi. Zikir itu perisai supaya syaitan tidak dapat memasuki hati. Syaitan sentiasa tunggu saat kita leka dan lupa Allah, ketika hati menjadi kosong (teringat lagu Najwa Latif pulak!;p), ketika itu mulalah syaitan menghasut. Teringat ketika saya mengamuk dulu, abah kata, “banyak syaitan ni”. Baru sekarang saya faham.
Terakhir, kita tawakal. Belum masanya kita untuk bertawakal. Sedangkan dunia adalah medan peperangan bagi kita. Perang melawan hasutan syaitan. Perang melawan nafsu. Perang melawan syaitan bertopengkan manusia. Selagi kita masih bernafas, selagi itulah kita masih berusaha. Usaha dan doa.

Semua ini saya dapat dari sahabat-sahabat yang baru saya kenal sejak kebelakangan ini. Manusia tidak mampu hidup bersendirian. Iman saya goyah tanpa bantuan rakan-rakan. Allah pertemukan saya dengan sahabat yang mempunyai matlamat hidup seperti saya. Orang-orang yang tiap harinya hidup dengan meraih cinta Illahi, bukan cinta sesama manusia. Orang-orang yang mengejar kebahagiaan akhirat, disamping tidak lokek berkongsi kebahagian dunia kepada orang lain. Mereka sedar, bahagia di dunia ini sementara. Tiadalah rugi berkongsi kebahagiaan yang apalah sangat nilainya. Kadang-kala perit untuk mendengar teguran mereka, tapi akhirnya saya sedar, tegasnya mereka kerana sayangkan kita. Jauh sekali kerana alasan peribadi. Alhamdulillah… saya dipertemukan dengan orang sebegini.

Semoga Allah memberkati dan meredhai hidup kita. Semoga kita semua selamat dunia dan akhirat.  Ameen.

"Kejarlah cinta Illahi, bukan cinta dunia yang Allah yang beri.
Cinta manusia silih berganti, tapi cinta Allah kekal abadi."

Sunday, August 5, 2012

Susah...Alhamdulillah...


17 Ramadhan-Alhamdulillah… Dipertemukan lagi dengan bulan yang penuh barakah. Alhamdulillah… bertambah lagi anak saudara. Perempuan! Khaisarah Adlyna-Pemaisuri yang adil. Alhamdulillah… Kerja dipermudahkan dengan bantuan rakan-rakan baru di Hospital Kluang. Syukur,ya Allah… Syukur tidak terhingga.

Suatu hari, sahabat saya bertanya, “macam mana dapat bertahan dengan kerja sekarang? Ada amik(makan) apa-apa ke?”. Terpana… terdiam… Tiada rahsia. Cuma kurang pasti dengan apa yang diamalkan. Mungkin tidur seawal waktu. Benar. Tidur yang cukup. Kebetulan kami (saya dan rakan yang menjaga-Zati) kedua-duanya masih bujang. Tiada komitment lain di rumah. Kerja kami penat… sungguh penat. Kudrat sebagai seorang perempuan tidak sehebat mana… Saya dan Zati tidak berkata apa-apa. Mungkin masing-masing memahami keletihan yang dialami. Tidur selepas Magrib sudah menjadi kebiasaan. Kemudian bangun menunaikan solat Isyak di sepertiga malam. Saya lebih suka menunggu waktu Isyak. Maklumlah, susah bangun dari tidur. Alhamdulillah… kami terbiasa. Alhamdulillah… saya suka bersusah-payah. Terasa puas bekerja. Alhamdulillah, saya ada sahabat yang hebat. Kadang-kala saya merungut juga, Zati sumber semangat.

Ada ketika saya berasa iri hati/sakit hati/cemburu dengan rakan-rakan yang dipermudahkan kerjanya. Alhamdulillah, al-Qur’an menenangkan hati saya.

Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurnia yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. (Kerana) Bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi perempuan (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Mohonlah kepada Allah sebagian dari kurnia-Nya. Sungguh, Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
                                                                                                                           (Surah An-Nisa, ayat 32)

Saya percaya, semua yang ditetapkan oleh Allah, ada hikmahnya. Allah Maha Adil. Allah Maha Bijaksana. Allah Maha Mengatahui. Sungguh, segala ujian ada kebaikan. Berdoalah kepada Allah, sebagaimana yang tertulis di dalam al-Qur’an, surah al-Baqarah, ayat 284-286:

Milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Jika kamu nyatakan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu sembunyikan, nescaya Allah memperhitungankannya(tentang perbuatan itu) bagimu. Dia mengampuni siapa yang Dia kehendaki dan mengazab siapa yang Dia kehendaki. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Rasul (Muhammad) beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya (Al-Qur’an) dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semua beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata), “Kami tidak membeza-bezakan seorang pun dari rasul-rasul-Nya.” Dan mereka berkata, “Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami ya Tuhan kami, dan kepada-Mu tempat kami kembali.” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari kebajikan yang dikerjakannya dan dia mendapat (seksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”

Sungguh Allah Maha Berkuasa. “Dan milik Allah-lah kerajaan langit dan bumi; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Surah Ali-Imran, ayat 189.

Segala yang saya ada adalah milik Allah. Kudrat saya milik Allah. Kesabaran saya kurnia Allah. Kita hanya manusia lemah, dipinjamkan Allah dengan segala-galanya. Susah dan senang saya, hanya Allah yang tahu. Saya sedar, ada manusia yang lebih susah dari saya. Dan mungkin juga kesusahan saya berpunca dari kelemahan saya sendiri. Biar saya bersusah-payah sedikit asalkan saya tergolong dalam golongan yang sedikit. Amin…

“Dan sungguh, Kami telah menempatkan kamu di bumi dan di sana Kami sediakan (sumber) penghidupan untukmu. (Tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur.”
                                                                                                                          (Surah al-A’raf, ayat 10)

Wednesday, June 6, 2012

Dewi...

I made this special for my dear friend...seriously...she's an angle. May Allah always bless you, sayang.^^

Dewi
Kala rindu dia menangis
Dirinya terasa sadis
Terlepas terhempas hampa
Tertanya mengapa...

Dewi
Dikutip hati tercarik-carik
Syaitan laknat berbisik-bisik
Hati lemah...
Kembali berdarah...

Dewi
Tika tersedar
Lidah beristigfar
Astagfirullah...
Astagfirullah...

Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Maafkan dewi yang khilaf

-April 2012-

Tuesday, June 5, 2012

Ko....Meme...The Best...!

Tajuk malam ni, senang. Baca je dalam nada sarcastic. Ini buat anak2 buah kesayangan. Sayang gile aku kt korg.

Aku tak marah(tipu)... Aku tension sket je. Sket je pon... sebab manusia tu xsempurna, kan? Tapi korg xperlulah nak cover kesalahan bertubi2 korg yg aku xlarat nak layan dengan kata2 pujangga-Manusia Tak Sempurna. Dan jangan sekali2 korg guna pulak ayat ni-Sedangkan Nabi Pun Maafkan Manusia. Fine...aku bukan Nabi ok. Bukan Malaikat. Yang Mulia Baik lagi Terpuji. AKU MANUSIA BIASA YANG TAK SEMPURNA dan aku cuba jadi sebaik manusia.

Cerita dia senang: Staff yang suka sangat MEMANDAI. Dengan ayat kasar, tak tahu tapi berlagak tahu.  Akhir ayat dia, slalu berakhir dengan 'kot'. Ok la... At least orang camni, aku ble tau yg dia teka2/memandai/tak tahu tp berlagak tahu. Paling kronik... (ha... ni nak share...) org yg CONFIDENT TAPI SALAH . Pergh.... orang camni bahaya beb... lagi2 aku kerja kat hospital, DEALING WITH LIFE. Ko boleh dapat maklumat yang salah beb dr mulut dia ni. Seriously... BAHAYA. Thank God, kitaorg punya kerja tak berapa direct dengan patient. Well...some sort, actually kadang2 tu direct jugak. Senang kata, paling teruk pun, ko gado ngn wad la. MISS COMMUNICATION sebab pemberi maklumat tak berapa boleh pakai. Sorry eh... korg yg baca ni, tak payah nak touching2. Korg nk terasa, terasa sendiri, perbaiki diri. Aku baru kena tadi. Aku tanya simple, bila pesakit start ubat A? Dia ble ckp hari ni. Aku pelik ah...sebab klu dia start ubat tu, sepatutnye start petang... Aku kira2, macam xtelly ngn jumlah ubat yang ada. Aku tanya, tanya, tanya lagi, dia confius semalam dengan hari ni. Lepas dia kte dia nk confrimkan balik dengan wad, dia patah balik, cakap ngn aku, ada tulis kat kertas yg dia pegang tadi, pesakit start semalam. Tengkorak la... Ko ada je tulis. Pehal ko boleh takut sangat nak tengok balik ape yang ko tulis? Ko tengok aku, muka aku ada jawapan ke? Maklumat yang ko baru je salin beberapa minit, ko boleh smpaikan kat aku benda yang salah. Ko  pegang kot ape yang tulis. Itu benda remeh je kan? Korg ble je cakap, "ala...chill r. xde pape benda teruk pun jd.". Tp tak ke benda senang dia jadikan susah. Letih weh nak layan...Ape perasaan ko bila ko ada staff, tapi staff xboleh pakai? Ko ada staff, tapi semua benda a AKU BUAT SORANG. Sakit jiwa dibuatnye.

Aku letih bukan sebab ape... Sebab dia dari pagi sampai ke petang buat aku menjerit. Tak pernah kot aku menjerit kat anak2 buah aku. Ko sangat di angkasa ok. Fokus-OUT! Bukan takat fokus ko out, attitude ko out jugak. Ko takut sangat nak cakap TAK TAHU/TAK INGAT. SEDANGKAN KO MEMANG TAK TAHU/KO MEMANG TAK INGAT. PASTU KO MEMANDAI. YANG AKU TAK TAHAN, BENDA AKU CAKAP SEMALAM, KO TAK INGATTTT?????!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Ko jangan aku hentak kat dinding sampai berdarah,dah. Ape benda yang ko ingat? Nasib nama aku ko ingat.

Citer pasal ATTITUDE. Mintak maaf ok. Aku bukan nak burukkan sesiapa. Tapi aku rasa, benda ni KEMAHIRAN HIDUP/MORAL/NILAI MURNI/PENDIDIKAN AGAMA dan sebagainya. Senang kata, benda ni sangat tak perlu untuk aku ajar pd org yg dah 2 dekad hidup. Ko boleh fikir sendiri. Masa ko tadika pon ko dah belajar patuhi masa, betul? Kalau ko duty bersihkan kelas, ko kena datang awal ke lambat? So...kalau ko janji ngn org... dan melibatkan org2 dr kelas lain, ko rase...ko akan datang awal ke lambat? Nampak x? Nampak x? Korang pening eh... baca ayat aku yang tah pape. Ok, moral of story....kalau ko kije, dah janji pukul 7, datang la awal sikit. bukannya 5 minit lagi baru sampai. Jujurlah... sebenarnye aku tak puas hati sebab aku yang kene prepare semua barang. Dia datang sesuka hati on time. MACAM BOS. Setahu aku, aku yang bos. Korg nak kata aku berkira pun katalah. Tapi bagi aku, kalau ko ada member pon, ko dtg awal. Saje nak stand by. Mne tau barang tak cukup. Tolong member. Ini pagi buta tau dia buat hal. Siapa tak hangin? Perlu ke beb aku ajar sume ni? Tak perlu kot. Ko kalau kne tinggal, padan muka. Geram ni.

Bab fokus, aku malas nak sentuh la. Sebab memang ada certain orang xboleh goreng ikan, sambil potong sayur. Dia kena buat 1 kerja pada 1-1 masa. Tapi perkara yang aku dok citer panjang2 kat atas tu, ko boleh improve.

Ha... Lagi satu. Korang dibyr untuk bekerja ok? Ada certain ni mcm xpuas hati pulak aku xajar semua. Korang kan ada degree...oversea lagi. Aku tolong tunjuk korg mcm mne nak gune ilmu yang korg ada tu je. Aku xdibayar untuk ajar, A bahagi B jadi berapa ok. Aku just cakap, nk dpt jwpn ni, kena kira. Kalau korg lupa tambah-tolak semua, itu tanggungjwb korg. Kalau aku dulu mse mle2 kerja, segan kot kalau tak tahu. Memang buka buku diam2 g study. Budak2 sekarang dah pandai salahkan kitaorg xajar bila dorg xpandai tamabh-tolak. Ini contoh je ok. Tapi xmustahil ada manusia yang lupa tambah-tolak. Siapa tahu,kan? Senang kata, INI TEMPAT BEKERJA,BUKAN SEKOLAH. Memang la korg akan belajar byk mse kerja. Pandai2 la tanya. Bukan harapkan kitaorg suap.

Sekarang ni, sama ada ko nak amik iktibar ke tidak je la. Aku pun insaf. Manusia ni pelbagai. Menguji kesabaran sungguh. Kita memang tak sempurna. Tapi kita boleh berusaha ke arah itu. Aku tinggi suara kat dia pun selain dari niat marah, niat aku biar dia terjaga(fokus kurang kan?). Semoga dia ingatlah apa yang aku jeritkan. Aku tengok member aku dok cakap bebaik pun cam xjalan je. Oh ye. Dia marah pun sebenarnye xjalan. Aku baru tahu lepas aku marah2 dia. Aku berusaha ni. Ko berusaha x?

Ok. End.

P/S:  Bila Orang Bercakap Dengar. Fikir Dengan Rasional. Amal Apa Yang Baik.

Saturday, March 24, 2012

When I said, “I’m busy”. I really meant it…

Saya baru setahun setengah berkerja. Selepas setahun mempelajari tugas-tugas asas sebagai seorang pegawai farmasi, saya terus diberi amanat yang besar, menjaga 2 unit di samping menggantikan rakan diunitnya ketika dia tiada. Menjadi seorang ketua…untuk 2 unit…menguruskan pekerja-pekarja…Tambah lagi dilantik menjadi ahli jawatankuasa. Semuanya terlalu asing… Namun, saya akan sahut cabaran ini (mahu tidak mahu). Saya tidak mahu digelar orang yang lambat belajar. Insya-Allah… semoga Allah permudahkan urusan saya.

Tugas demi tugas demi tugas. Di kala ini, banyak sudah tugas yang mesti dilakukan. Saya percaya, tugas ini akan terus-menerus bertambah. Sehinggakan, saya merasa tiada masa untuk bernafas. Sehinggakan ada orang bertnya, mengapa saya berlari-lari? Saya hanya mengejar masa. Tanpa saya sedari, saya berlari-lari di tempat kerja. Sibuk? Sengaja menyibukkan diri. Kalau dibenarkan, saya hanya mahu berkerja pada waktu bekerja sahaja. Di rumah, saya hanya mahu berehat. Di hujung minggu, ketika saya duduk, saya tidak tenang. Mungkin ada tugas yang saya terlupa… Kadang-kala, saya geram dan cemburu melihat mereka yang duduk ketawa, tidak membuat apa-apa di tempat kerja. Namun, siapalah saya, siapalah dia. Tekanan kerja pasti berbeza. Kekurangan pengalaman kerja sedikit sebanyak membuatkan kerja saya lambat dan bertimpa-timpa. Saya percaya, ada yang lebih susah dari saya. Bagi mereka, kerja saya, apalah sangat jika dibandingkan dengan kerja mereka.

Cuma saya mahu mengatakan, jangan MENYUSAHKAN ORANG LAIN. Jika anda tolak kerja kepada orang lain, semuanya tidak akan menjadi. Saya tidak gemar orang yang tidak bertanggungjawab. Saya tidak gemar orang dewasa yang tidak matang. Saya tidak gemar orang yang tidak tahu menjaga dirinya sendiri, malas, manja dan sentiasa mengharapkan orang lain. Setiap manusia mempunyai tanggungjawab mereka sendiri. Jika seseorang itu meletakkan kerjanya kepada orang lain, sudah tentu kerja itu tidak terlangsai. Melainkan, kerja itu diberikan kepada mereka yang tiada kerja.

Marah, benci, kecewa…perasaan bercampur-baur. Hanya sedikit iman yang memujuk, “sabar…sabar…”. Mengalir air mata, diam, hati beristigfar…. Astagfirullah… Astagfirullah…
Alhamdulillah… menjadi seorang Islam, satu kurniaan paling berharga. Apa sahaja datang menduga, akan saya cuba tempuhi dengan tabah. Ujian ini satu petanda… Selalu saya mengingatkan diri, ada ujian yang lebih hebat dari ini menanti. Tabahlah wahai hati. “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”(Al-Baqarah:284). Syukur…saya ditemukan dengan orang-orang beriman, yang mengajar kalimah-kalimah indah dari al-Quran. Benar kata seseorang, al-Quran teman karib yang sejati… Dalam sedih, kalimah-kalimah al-Quran memujuk. Dalam gembira, kalimah-kalimah al-Quran mengingatkan. Alhamdulillah… Saya hairan, mengapa manusia masih mengabaikan al-Quran? Tidakkah mereka tergerak? Terfikir? Tidak saya menolak kehadiran manusia di sekeliling saya. Mereka menyayangi saya. Di kala saya tertekan, mereka tempat saya mengadu. Ada juga menjadi tempat saya melepaskan geram(Bukan dengan cara yang kejam tau.;)). Tapi saya sedar, manusia tidak mampu memberikan komitmen 100% kepada kita SEPANJANG MASA. Sedangkan Ibu bapa pun terpaksa menjaga ramai orang disekeliling mereka. Pasangan, anak-anak, ibu bapa mereka, adik-beradik, sahabat handai, pekerja…  Mana mungkin saya dapat mengharapkan mereka… Kejam saya jika meminta sesuatu yang tidak sepatutnya.

Pendek kata, saya sedang bertungkus-lumus menyesuaikan diri menjadi orang yang terbaik bagi memberikan yang terbaik. BERUSAHA!

P/s: Setiap manusia harus berusaha mendapatkan yang terbaik untuk diri mereka. Saya maafkan mereka yang meninggalkan saya kerana mahu mendapatkan orang yang lebih baik dari saya. “May the best win, right?”.;)

Monday, February 6, 2012

Sedih Sang Penguris...

Assalammualaikum...


Ya...sayalah Si Terguris. Dialah Sang Penguris...
Hakikatnya sekarang, saya sedih melihat Sang Penguris...menguris hati insan yang menyanyangi mereka. Entah apa yang mereka cari sebenarnya...


Pada awalnya, saya menangis kecewa. Kemudian saya marah kerana ketidakjujurannya. Selepas itu, saya marah pula Si Pengoda...Astagfirullah....saya kalah dengan hasutan syaitan...jelas sekarang, saya tidak mahu lagi kalah dengan syaitan durjana! Alhamdulillah... saya terima semuanya kerana kekurangan saya. Saya pemarah bukan? Lemah dengan hasutan syaitan...Astagfirullah...astagfirullah....astagfirullah...Benar kata Sang Penguris...semuanya ini untuk kebaikan kita.Semuanya akan bertambah baik...Alhamdulillah...syukur ya Allah...saya bebas dari zina hati...semoga terus bebas dari dosa yang paling saya takuti ini.


Sukar untuk sampai ke tahap ini...sehinggalah saya tiba-tiba ditakdirkan menjadi Si Pengoda, melahirkan Sang Penguris yang baru...Masya Allah...sungguh tak tersangka diri ini menjadi 'Si Pengoda'. Sedangkan bertegur pun payah...apatah lagi menggoda. Mungkin kerana dosa-dosa lalu yang pernah saya lakukan.Terpana saya... kasihan bidadari pencinta Sang Penguris ini... Api marah berkata, "Sang Penguris tidaklah layak mendapat cinta dari si bidadari...". 


Saya kecewa. Sedetik sayalah Si Terguris(mangsa), sedetik kemudian sayalah Si Pengoda(punca). Semoga Allah terus melindungi saya... Saya berfikir, apa yang dicari Sang Penguris sebenarnya...? 


Kepada Si Terguris, Sang Penguris berkata, "tiada kemanisan, dan apa yang dirancang jauh dari kenyataan."
Benar...tiada kemanisan kerana tiada ikatan yang sah. Ternyata dia tidak mahu berpura-pura, dan memberi harapan palsu. Saya hargai ketelusan yang disampaikan. Namun selepas itu, ternyata ini semua hanya omong kosong. Hakikatnya muncul Si Pengoda dalam hidupnya. Terlupa saya yang dia pernah berkata, "Lelaki memang suka cakap manis. Macam hobi.". Dia tiadalah berbeza.


Kepada Si Pengoda pula Sang Penguris II berkata, "Apabila kita dah ada(yang punya), kita memang patut menghargainya. Tetapi, kita tak boleh menerima benda yang kita tidak suka. Kerana apabila kita buat begitu, kita melatih diri untuk menjadi manusia yang berpura-pura. Berpura-pura adalah sifat yang lambat-laun akan merosakkan diri kita."
Pandai berkata-kata sedangkan keikhlasan kepada ibu bapanya pun pernah goyah... Saya yakin dia pernah berpura-pura rela membantu ibunya sedangkan rungutan pun pernah terluah. Jika benar dia orang yang bersyukur, dia akan berasa cukup dengan apa yang dia miliki... 


Tidaklah saya menyangkal berpura-pura sifat munafik. Saya suka orang yang telus. Kepada Sang Penguris I, saya katakan, "jika tiada rasa sayang, terus-terang." Dan benar, perasaan tak boleh dipaksa. Tapi perasan boleh dipupuk, disemai, dibaja. Perasaan juga boleh dibuang seperti sampah. Saya pernah bertungkus-lumus menyemai rasa sayang pada orang asing. Dengan izin Allah, saya dapat menyayangi orang yang menyayangi saya. Mungkin kerana ini jugalah saya mudah melepaskannya setelah hilang rasa sayang dalam dirinya. 


Lantas...apa sebenarnya yang dicari oleh Sang Penguris? Sedangkan hati mereka tidak pernah tetap. Pendiriannya berubah-ubah. Lalu menyalahkan perasaan. Sedangkan perasaan mudah dipermainkan syaitan. Hari ini suka, esok dah tak suka. Dosa menyatakan cinta jika tidak berniat untuk mendirikan rumahtangga... Lebih berdosa jika menipu dan menyeksa perasaan orang lain. Mungkin mereka tidaklah terfikir untuk menipu. Kata mereka, "sorry,I tak sengaja. I tak berniat pun..."


Sang Penguris mahukan orang yang sempurna di matanya. Sedangkan diri tidaklah sebaik mana. Mereka harapkan orang menerima mereka seadaanya, tetapi meninggalkan orang yang menyayangi mereka seadanya dengan alasan tidak mahu berpura-pura. Kepada kami segala kesalahan, kepada mereka segala kebenaran. Sang Penguris sebenarnya belum matang. Seperti kanak-kanak yang terkinja-kinja medapat permainan baru, lantas permainan lama dilemparkan, dipijak, ditendang. Kata mereka, "saya berhak mendapatkan yang terbaik!Kalau jumpa yang lebih baik, ambillah peluang". Tak mustahil mereka akan bergaduh untuk mendapatkan 'permainan' itu sesama mereka.


Semua orang berhak mendapatkan yang terbaik tapi semua orang tak layak untuk menyakiti hati orang lain. Saya juga berhak mendapat orang yang baik, dengan syarat, JADI ORANG YANG BAIK. Saya percaya dengan janji Allah, "Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik." Jujur...tidaklah saya yakin untuk mendapatkan yang terbaik. Sedangkan saya hanya manusia biasa. Berusaha lari dari melakukan dosa. Saya TIDAK LAYAK untuk dapat ORANG YANG TERBAIK. Tapi saya akan berusaha menjadi yang terbaik dan saya berdoa bertemu dengan orang yang baik. 


Buat Sang Penguris... jadilah orang yang terbaik dahulu sebelum berhajat untuk mendapatkan orang yang baik. Sekurang-kurangnya, cuba buang gelaran Sang Penguris. Mungkin kamu rasa tidak berdosa. Tapi jika kamu tidak dimaafkan... 


Atas dasar KEMANUSIAAN, SAYA MAAFKAN KAMU. Sebab bagi saya tiadalah dosa untuk menyatakan cinta jika betul niatnya. "Nak selamatkan kamu"- mungkin tuah kamu pada awalnya menyatakan hasrat sebegini. Terima kasih buat pengalaman bagaikan di syurga.

Monday, January 30, 2012

Ingatkan Aku

Ingatkan aku tentang Tuhan kita
Tuhan yang menentukan segalanya
Allah Maha Besar, Dialah Pencipta
Akan kuredha dengan ketentuan-Nya


Ingatkan aku tentang kuasa-Nya
Allah yang menemukan kita
Dialah pembuka hati, pemberi cinta
Semoga Allah memberkatinya


Ingatkan aku tentang takdir-Nya
Yang menjadikan cerita kita indah
Suka, duka...Cantik ciptaan-Nya
Allah hu Akbar... jadikan kami manusia yang tabah


Ingatkan aku tentang seksa-Nya
Ingatkan aku tentang larangan-Nya
Ingatkan aku tentang api neraka-Nya
Dan ingatkan aku tentang janji-janji-Nya


Sayang kamu sebagai manusia...lillahita'ala...


-mye-
-11 Oct 11-